Total Hits

Tuesday, April 17, 2012

CORAK PEMERITAHAN KERAJAAN-KERAJAAN AWAL DI ASIA TENGGARA

Kebanyakan kerajaan-kerajaan awal di Asia Tenggara mengamalkan corak pemerintahan beraja. Corak pemerintahan beraja mempunyai beberapa ciri tertentu.


Terbahagi kepada beberapa kelas sosial

Raja

Corak pemerintahan kerajaan-kerajaan awal memperlihatkan pembahagian kepada tiga kelas sosial. Ketiga-tiga kelas sosial yang wujud mempunyai peranan yang berbeza di antara satu sama lain. Kelas teratas dalam hierarki sosial pemerintahan kerajaan awal dinaungi oleh seorang raja. Raja mempunyai kuasa mutlak yang tidak dimiliki olek kelas sosial lain. Pada masa yang sama, agama Hindu dan Buddha telah menjadi sebahagian daripada kekuasaan seseorang raja atau pemerintah. Raja atau pemerintah dipercayai mempunyai unsur magis atau kebolehan luar biasa. Di samping itu, raja-raja juga turut dianggap memiliki kuasa kedewaan dan telah disamakan kedudukannya dengan dewa-dewa yang menunjukkan tradisi Brahmin iaitu tertumpu kepada konsep devaraja serta dianggap berkuasa penuh dalam hal keagamaan dan adat istiadat.
Raja berkuasa dalam soal pengadilan, perdagangan atau pertanian, perhubungan luar, ketenteraan dan percukaian. Di samping berkuasa, raja juga bertanggungjawab dalam hal pembangunan ekonomi, kemakmuran dan kebajikan sosial negara dan rakyat. Contohnya, Raja Funan dan Angkor terlibat dalam pembinaan sistem pengairan dan bertanggungjawab secara langsung dalam pengurusannya. Raja Indravarman 1 telah membina sistem pengairan dan baray (tempat takungan air buatan manusia yang berbentuk tasik) yang mampu mengairi kawasan seluas 12.5 juta ekar. Ini menghasilkan beras yang mencukupi untuk rakyatnya.

Pembesar

Kelas sosial selepas raja diduduki oleh golongan pembesar, bangsawan atau pertuanan. Golongan ini termasuk dalam golongan pemerintah. Golongan ini berperanan sebagai penasihat raja dalam semua urusan kerajaan. Golongan pembesar, bangsawan, dan pertuanan lebih berkuasa di wilayah-wilayah tertentu. Selain itu, pembesar juga bertugas dalam memungut cukai dan ufti daripada rakyat dan utusan-utusan daripada kerajaan lain. Pembesar dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu terdapat pembesar pusat dan pembesar daerah yang menjalankan tugas di kawasan masing-masing. Namun, terdapt juga perbezaan di antara pembesar di sesebuah kerajaan awal dengan kerajaan awal yang lain.
Golongan pembesar juga berperanan sebagai pembekal tenaga tentera. Semasa peperangan, pembesar bertanggungjawab membekalkan tentera kepada kerajaan. Tenaga tentera dalah terdiri daripada rakyat jelata dalam sesebuah kerajaan tersebut. Pembesar juga diamanahkan menjaga sesebuah kawasan dengan baik dan adil. Dalam kerajaan awal. Pembesar akan menentukan bentuk pentadbiran kawasan serta sistem pungutan cukai. Golongan ini juga bertanggungjawab memelihara keamanan di kawasan pentadbiran dan mempertahankannya daripada ancaman luar. Pembesar juga mejadi orang perantaraan antara raja dengan rakyat. Pembesar memastikan rakyat dalam kawasan pentadbirannya taat setia kepada raja.

Rakyat

Rakyat merupakan golongan yang paling rendah dalam sistem beraja kehinduan. Rakyat tergolong dalam golongan yang diperintah. Golongan ini mempunyai taat setia yang tidak berbahagi kepada raja dan golongan pembesar iaitu selaku golongan yang memerintah. Rakyat membayar cukai kepada raja dan golongan pembesar. Mereka mematuhi arahan raja atau pembesar. Misalnya, rakyat rela menjadi tenaga tentera, buruh dan sebagainya. Dengan kata lain, rakyat mengerah tenaga demi memenuhi tuntutan pemerintah. Tanpa rakyat, sesebuah kerajaan tidak akan berjalan atau berfungsi kerana rakyat mempunyai kepentingan yang besar kepada sesebuah kerajaan atau negeri.
Contohnya di Srivijaya, seperti negeri-negeri sebelumnya, Srivijaya mempunyai organisasi pentadbiran yang teratur. Inskripsi Telaga Batu yang dipercayai bertarikh dalam lingkungan suku abad akhir abad ketujuh, member gambaran tentang organisasi dan pentadbiran Empayar Srivijaya. Wolters berpendapat, Empayar Srivijaya dapat dibahagikan kepada tiga jenis kawasan. Sementara itu, de Casparis berpendapat berasaskan kepada inskripsi Telaga Batu yang mempercayai bahawa Srivijaya itu merupakan sebuah kadatuan atau empayar.
Kadatuan Srivijaya itu dibahagikan kepada beberapa mandala dan tiap-tiap mandala yang tertakluk kepada Srivijaya terletak di bawah pemerintahan seorang datu. Tiap-tiap datu itu pula mugkin mempunyai pembantu dalam hal kadatuan –praddatuan yang bergelar parvanda atau ketua tentera. Di zaman Kesultanan Melaka, wujud jawatan yang sama dengan datu tetapi nama jawatan itu berbeza iaitu mandulika.
Datu yang berketurunan raja, boleh dilantik daripada anak raja. Dalam hierarki kelas sosial dan hierarki pentadbiran di Srivijaya, terdapat empat kelas anak raja. Kelas yang paling tinggi ialah Yuvaraja. Ia berperanan sebagai Raja Muda atau Tengku Mahkota. Di bawah yuvaraja ialah pratiyuvaraja. Anak raja daripada kelas ini dilantik menjadi yuvaraja. Sementara anak raja yang lain digelar sebagai rala kumara. Ketiga-tiga kelas anak raja itu layak mewarisi takhta kerajaan tetapi perlu mengikut hierarki. Mereka adalah berdarah raja di kedua-dua belah pihak iaitu ibu dan bapa. Rajaoutra merupakan kelas anak raja yang keempat dimana kelas ini tidak layak dilantik menjadi raja kerana mereka itu bukan berketurunan raja dan mungkin anak gundik.
Dalam organisasi sosial dan politik Srivijaya, jelas kelihatan wujud dua kelas utama. Pertama, kelas daripada golongan diraja yang termasuk kaum kerabat dan anak-anak raja. Penghormatan dan status dalam golongan diraja bergantung kepada kedudukan mereka mengikut hierarki dalam kelas itu. Hal ini disahkan secara spiritual oleh inskripsi Kota Kapur.
Di bawah golongan raja, terdapat golongan pentadbir yang terdiri daripada senapati, nayaka, pratyaya, hajiprajaya dan dandanayaka. Senapati mempunyai tugas sebagai ketua kepada hulubalang dan fungsinya mungkin juga sama dengan fungsi Laksamana pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Sementara nayaka berperanan sebagai Penghulu Bendahari dan Hajipratyaya berperanan seperti Temenggung atau ‘Royal Sheriffs’. Selain daripada pembesar-pembesar itu, terdapat pembesar-pembesar lain yang mungkindapat dimasukkan ke dalam kelas pentadbir ialah murdahaka yang berperanan sebagai penghulu, Tuhan Vatakvurah mungkin peranannya sama dengan Syahbandar pada zaman Kesultanan Melaka dan Adhyaksa nicavarna sebagai penghulu rakyat kasta bawah. Pada zaman Empayar Srivijaya, terdapat juga golongan orang kaya-kaya atau Kumaramatya (Non-Royal Ministers). Selain itu terdapat kelas pekerja seperti Kayasdpa (Kerani), Sthapaka (Arkitek), Puhawang (Pekerja kapal) dan sebagainya.

HAMBA

Kelas sosial yang seterusnya ialah orang merdeka dan golongan hamba abdi. Kewujudan kelas orang merdeka dan hamba abdi jelas kelihatan dalam inskripsi Telaga Batu. Ini adalah kerana ddalam inskripsi Telaga Batu, tercatit satu jawatan yang bergelar penghulu atau ketua bagi rakyat yang merdeka yang terdiri daripada kelas kasta rendah. Di samping itu, terdapat pula hulun hali atau hamba raja.

No comments:

Post a Comment